29 July 2007

Tulislah yang elok-elok

Dalam surat khabar, sejak akhir-akhir ini macam sangat tersiar berita mengenai "Blogger" dengan "blognya". Ianya menjadi isu berita akhbar sejak laporan polis yang dibuat oleh Pegawai Penerangan UMNO, Malaysia terhadap pengendali blog " Malaysia dot net".

Laporan yang dibuat oleh Pegawai Penerangan UMNO, Malaysia, kerana katanya "Malaysia dot net" menghina Yang di-Pertuan Agong dan Agama Islam.

Aku setuju sangat dengan tindakan Pegawai Penerangan UMNO, Malaysia itu. Sememangnya sebagai rakyat Malaysia sesiapa pun akan marah bila Yang di-Pertuan Agong dihina. Semua orang Islam akan marah bila agama Islam dihina.

Yang aku terkilan sikit ialah mengapa UMNO sahaja yang marah, sedangkan Yang di-Pertuan Agong pun Raja juga bagi parti politik lain seperti MCA, Gerakan, DAP, KeAdilan dan sebagainya. Kalau masa ke balai polis untuk membuat laporan hari tu, Pegawai Penerangan UMNO, Malaysia, bawa juga pemimpin parti politik dalam BN yang lain sama lagi baik.

Kerajaan tidak menghalang orang hendak menulis dalam blog. Tetapi hendaklah tulis perkara yang tidak menyakit hati orang. Aku berjanji pada diri aku sendiri aku akan tulis mengenai yang baik-baik sahaja.

Di kedai-kedai kopi sekarang ini orang dok sembang mengenai pilihanraya sudah dekat. Depa kata, depa yakin dekat sangat kerana depa tengok ramai juga wakil rakyat sudah mula melawat kawasan. Yang berangan nak jadi wakil rakyat pun ada juga dok tinjau-tinjau.

Kalau aku tulis mengenai perkara ini, tentulah ianya akan dianggap tak elok, kerana wakil rakyat tinjau kawasan bukan kerana pilihanraya dah dekat. Memang kawasan dia, dia kena tinjaulah, walaupun sebelum ini dia tak tinjau kerana sebuk.