16 December 2005

Nilailah sendiri!

Hari rabu lepas (14 Dec. 2005) unit kami telah mengadakan mesyuarat 'muhasabah diri'. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Unit kami ini adalah untuk membuat penilaian mengenai pencapaian kerja unit kami bagi tahun 2005. Mesyuarat seperti ini memang biasa diadakan pada penghujung setiap tahun.

Dalam mesyuarat ini kami dipinta membentangkan pencapaian tugasan kami dan juga segala masalah yang kami hadapi semasa menjalankan tugas. Dalam mesyuarat ini juga akan membentang sebab-sebab mengapa kami tidak menyelesaikan tugas-tugas yang dirancangkan.

Setelah dibincangkan apa yang sepatutnya, Pengerusi merumuskan bahawa beliau berpuashati dengan pencapaian unit kami. Beliau seterusnya akan menyampai pula pencapaian unit kami ketika mesyuarat Ketua-ketua Bahagian nanti.

Ketika agenda hal-hal ini, berlakulah dialog ini:

Husin ( bukan nama sebenar): " Pengerusi, saya rasa sedikit terkilan dengan laporan prestasi saya yang tuan catatkan dalam laporan prestasi tahunan saya."

Pengerusi: " saya menilai prestasi awak seadil-adilnya mengikut perhitungan saya."

Husin: " saya rasa prestasi saya lebih baik dari itu."

Pengerusi: " Baiklah. Sekarang awak ambil Borang Prestasi yang baru. Awak isi prestasi awak. Awak nilai diri awak sendiri. Saya berjanji akan memperakukan apa saja penilaian yang awak buat."

Husin: " Tak bolehlah macam tu. Mana boleh saya nilai diri saya sendiri."

Pengerusi: " Ha! Awak sendiri pun tak berani hendak nilai diri awak."

Husin: " Kalau tuan rasa saya ini tidak baik, saya minta tuan tukar saya ke Pejabat lain."

Pengerusi: " Satu idea yang baik. Tetapi ada baiknya awak yang buat surat minta tukar. Kalau saya yang minta tukar, maknanya saya terpaksa membuat laporan yang buruk mengenai awak sebagai alasan untuk meminta pertukaran ini. Awak setuju kalau saya buat laporan yang kurang baik mengenai awak?"

Husin: " Tak setuju tuan."

Oleh kerana tidak ada apa-apa lagi yang hendak dibincangkan, maka kami bersurai.

14 December 2005

Boss

Biasanya Ketua sesebuah organisasi akan disebut "Boss" oleh orang yang diketuainya. Boss adalah insan yang memimpin organisasinya untuk mencapai matlamat atau wawasan organisasinya. Boss mestilah pandai membuat keputusan dan juga pandai menerima keputusan.

Terdapat juga Boss yang akan mengaku kerja baik kakitangan bawahannya sebagai hasil kerjanya tetapi akan mengatakan hasil kerjanya yang tidak baik sebagai hasil kakitangannya. Jenis insan seperti ini tidak sesuai bertindak sebagai Boss.

Di tempat aku bertugas ada seorang Boss yang suka menunjuk-nunjuk ke'boss'annya. Dia suka menegur kakitangannya di depan orang lain. Aku tidaklah bermaksud Boss tidak boleh menegur atau memarahi kakitangannya. Boss berhak marah. Boss sebagai pemimpin mestilah menegur kesilapan kakitangan yang dipimpinnya. Tetapi Boss mestilah bijak memilih tempat untuk membuat teguran. Kalau pada fikiranya tegurannya akan berguna untuk kakitangan lain, maka sesuailah teguran itu dapat didengar oleh kakitangan lain. Kalau tegurannya akan menjatuhkan airmuka seseorangan kakitangan, maka adalah baik sekiranya tenguran itu hanya boleh didengar kakitangan berkenaan.

12 December 2005

Yang mana satu?

Akhir-akhir ini banyak sangat aku tengok iklan mengenai syampo rambut yang disiarkan di Telivisyen. Pelbagai jenis jenama syampo yang disiarkan. Semuanya membuat pengakuan syampo keluaran syarikatnya yang terbaik untuk pengguna.

Pengguna pula selalu diingatkan untuk membuat pilihan yang bijak. Buat pilihan mengikut keperluan. Tetapi sudah banyak jenama yang disiarkan, payah juga pengguna hendak membuat pilihan. Bagi membantu pengguna membuat pilihan, pehak yang bertanggungjawab mengenai iklan patut menyiarkan juga harga barangan yang dijual.

Dengan adanya harga barangan berkenaan, mudahlah para pengguna membuat pilihan.

10 December 2005

Kita mula sekarang

Agak lama juga aku ni asyik baca apa yang orang tulis dalam blog mereka. Ada yang lucu dan ada juga sedih. Tidak kurang juga ada yang menyentuh tentang politik negara.

Pendekkan cerita, aku pun rasa hendak juga jadi macam mereka. Jadi aku pun hendak mem'blog' seperti mereka. Aku akan tulis apa yang aku rasa hendak aku tuliskan. Kalau apa yang aku tuliskan ini ada tersentuh mana pihak, maka terlebih dahulu aku pohon kemaafan. Kerana kejadian ini bukan disengajakan. Sudah terpaksa.